Sunday, July 25, 2010

TUMBUHAN UNTUK MANUSIA : PERANAN TUMBUHAN DALAM ASPEK KECANTIKAN DAN KESIHATAN WANITA

Malaysia memang terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai tumbuhan dan kekayaan hutan tropika yang meliputi sebahagian besar daripada muka buminya. Tidak syak lagi bahawa tumbuhan yang pelbagai ini adalah merupakan rahmat anugerah Tuhan yang tidak ternilai kepada manusia, bukan sahaja sebagai sumber makanan harian malahan untuk kegunaan dalam pelbagai bidang kehidupan termasuklah bidang perubatan, kecantikan dan kesihatan.

Tumbuhan yang segar ini bukan sahaja menyaman dan mengindahkan persekitaran, tetapi juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Keistimewaan ini jelas menunjukkan kebesaran Tuhan dan betapa sedikitnya ilmu yang ada pada manusia. Betapa tidaknya, jika diteliti dan dikaji hampir setiap tumbuhan yang dijadikan oleh Tuhan semuanya mempunyai kegunaan dan keistimewaannya yang tersendiri. Ada yang boleh menghasilkan balak, buah-buahan, ubat-ubatan serta bahan asas yang digunakan dalam kosmetik dan sumber makanan untuk kesihatan.

Terdapat hampir 10 juta spesies flora dan fauna di seluruh dunia. Lebih 50% daripadanya didapati di dalam hutan hujan tropika. Adalah dianggarkan lebih 200,000 spesies tumbuhan berbunga terdapat di atas muka bumi ini dan sehingga kini hanya lebih kurang 5000 spesies sahaja yang telah dikaji untuk penilaian farmakologi. Daripada keseluruhan keluasan negara ( 32.9 juta hektar ) , 19.1 juta hektar iaitu sebanyak 58.1% masih diliputi kehijauan hutan asli. Rekod-rekod ini menunjukkan kewujudan lebih kurang 14,500 spesies tumbuhan berbunga dan 800 spesies tumbuhan tidak berbunga di hutan-hutan di negara ini dan adalah unik kepada persekitaran Malaysia.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua tidak kira kerajaan, agensi bukan kerajaan, badan korporat ataupun individu terbabit untuk menentukan penggunaan pelbagai tumbuhan dan khazanah hutan secara manpan. Hal ini amat penting agar faedah dan keunikan aneka tumbuhan bukan sahaja dapat dinikmati oleh generasi hari ini, bahkan juga generasi muda akan datang.


TUMBUHAN DAN KECANTIKAN
Kecantikan dan kejelitaan sememangnya menjadi idaman setiap wanita. Oleh itu, bidang solekan kini ternyata semakin berkembang pesat seiring dengan pesatnya pembangunan bidang-bidang yang lain di negara kita. Lebih ramai lagi wanita dari segenap lapisan masyarakat yang semakin berminat untuk menjadi lebih cantik dan cantik lagi. Tidak syak lagi, ramai kaun wanita yang sanggup membelanjakan beribu-ribu ringgit hanya untuk menjadi cantik. Masih ramai wanita sekarang yang berkiblatkan barat dengan mengikuti perkembangan kecantikan di sana tanpa menyedari sebenarnya terdapat banyak perbezaan di antara kecantikan dari barat dengan keayuan kita yang berasal dari timur, terutamanya dari segi pembuatan bahan-bahan kecantikan yang banyak diutamakan untuk iklim mereka.

Namun demikian, kembali ke alam semula jadi merupakan satu prinsip yang semakin diminati wanita masa kini dalam memelihara kecantikan mereka. Dengan ini, penggunaan bahan-bahan semula jadi terutamanya tumbuhan dalam merawat kecantikan didapati begitu menggalakkan. Tidak ada perkataan terlambat bagi seorang wanita untuk kelihatan cantik, selagi mereka mahu belajar mempercantikkan diri, bersesuaian dengan usia dan keperibadian mereka. Semakin berumur, seseorang wanita haruslah kelihatan semakin cantik.


JAMU DAN RAHSIA KECANTIKAN WANITA.

Jamu diperbuat daripada bahan-bahan asli seperti tumbuh-tumbuhan, daun-daun dan akar-akar kayu, buah-buahan dan bunga-bungaan yang mempunyai khasiat untuk merawat kesihatan dan kecantikan tubuh badan. Sebahagian daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat jamu ialah seperti halia, lengkuas, kunyit, cekur, limau purut, serai, pinang, daun pandan dan lain-lain lagi seperti dalam gambarajah yang disertakan.

Jamu ialah ubat tradisional yang telah digunakan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi. Mereka mengamalkan penggunaan jamu untuk mengubati berbagai-bagai jenis penyakit, merawat kecantikan badan dan tidak ketinggalan juga untuk menyihatkan dan menguatkan badan. Penggunaan dan pemakaian jamu tradisional yang asli ini masih diamalkan hingga ke hari ini walaupun perubatan moden begitu meluas digunakan dan dikembangkan begitu canggih sekali. Keberkesanan penggunaan jamu yang jarang memberi kesan sampingan telah terbukti melalui pengalaman cara pengamalnya yang setia.

Jamu dan kecantikan umpama pasangan kembar yang tidak boleh dipisahkan. Kecantikan adalah perihal sesuatu yang sangat menarik apabila dipandang. Wajah yang cantik jelita menjadi idaman semua, terutamanya wanita yang tidak teragak-agak berlumba-lumba untuk mencapainya dengan apa cara sekalipun. Sejak dahulu lagi, banyak petua dan ramuan ubat daripada tumbuhan yang digunakan oleh nenek-moyang kita untuk mendapatkan kecantikan diri. Petua-petua tersebut diturunkan kepada anak cucu hinggalah ke hari ini, dan wanita hari ini meneruskan tradisi meminum ramuan ubat traadisional ini walaupun rasanya tidak menyenangkan – pahit, masam dan sebagainya.

Untuk kelihatan cantik jelita, seseorang itu tidak sahaja harus menampilkan kecantikan luaran sahaja, malah yang lebih utama lagi ialah kecantikan yang dipancarkan dari dalam diri. Kecantikan dari dalam diri perlu diamalkan sejak seseorang itu masih sunti lagi, seperti mengamalkan pemakanan jamu bagi memperelokkan perjalanan darah, memantapkan pusingan haid dan sebagainya. Merawat diri dari dalam sangat perlu untuk memastikan kesihatan tubuh badan, yang seterusnya akan menyempurnakan kecantikan luaran. Sejak menjadi gadis remaja, perawatan dari dalam yang pertama hendaklah dilakukan dari hari pertama didatangi haid lagi, iaitu dengan meminum Jamu Gadis Remaja atau yang seumpamanya. Jamu ini sangat berguna untuk menjaga sistem dalam badan, melangsingkan badan serta menambahkan tenaga. Selain daripada itu, jamu-jamu boleh juga disediakan sendiri dirumus sepertimana berikut;

a) Jamu Kunyit

Kunyit atau nama saintifiknya ialah Curcuma domestica adalah dari famili Zingiberaceae, merupakan sejenis herba berdaun lebar dan runcing di hujung serta berbatang pendek. Daunnya berbau wangi apabila disiat atau diramas dan mempunyai rizom yang isinya berwarna oren. Jamu kunyit disediakan dengan dicampurkan kunyit dengan asam jawa (Tamarindus indica) dan gula merah secukupnya. Khasiatnya ialah untuk membersihkan darah haid dan menghilangkan baunya. Kunyit juga boleh merangsang pengeluaran jus hempedu, mengurangkan sakit perut, anti-bakteria dan menahan bengkak.

b) Jamu Lempoyang

Lempoyang atau nama saintifiknya ialah ialah Zingiber aromaticum juga adalah dari famili Zingiberaceae. Lempoyang adalah herba daripada jenis halia yang mempunyai rizon yang agak besar dengan bau tengik dan rasa pahit jika dimakan. Jamu lempoyang ini sangat baik untuk membersihkan kulit muka, menghindari muka daripada ditumbuhi jerawat dan menghilangkan bau badan. Selain itu, ia boleh digunakan untuk memanaskan badan dan membuang angin. Rizomnya boleh digunakan untuk menaikkan selera makan kanak-kanak.

c) Jamu Tomato

Tomato sangat terkenal sebagai bahan yang sangat baik dalam penjagaan kulit. Tomato yang dicampur dengan sedikit gula berfungsi untuk mencantikkan kulit. Isi tomato juga baik untuk kulit yang berminyak. Ia akan mengurangkan daya kerja kelenjar minyak dan berfungsi sebagai astringent bagi kulit yang mulai kendur.

d) Jamu Beras Hancur

Beras yang digoreng hingga kekuningan dicampurkan dengan cekur, bunga cengkih dan kulit kayu manis, kemudian dicampurkan dengan gula merah dan asam. Campuran ini begitu memuaskan untuk menyegarkan wajah, melancarkan peredaran darah dan membuat seseorang tidak mudah penat.

e) Jamu Lempoyang dan Kunyit

Lempoyang atau nama saintifiknya ialah Zengiber aromaticum dari famili Zingiberaceae jika dicampurkan dengan kunyit akan dapat menghilangkan bau badan.

PENGGUNAAN TUMBUHAN DALAM KOSMETIK.

Kosmetik ialah bahan yang dirumus khas untuk memperbaiki, mencantikkan dan pada amnya untuk menambahkan daya penarik seseorang. Kebanyakan kosmetik adalah untuk mencantik dan menyerikan rambut dan air muka. Penggunaan kosmetik merupakan amalan tradisi sejak zaman purba kala lagi. Populariti kosmetik yang berterusan menjadikannya sebuah industri yang besar pada masa ini.

Barangan kosmetik merupakan pilihan yang paling popular di kalangan wanita di dunia untuk merawat kulit muka selain bertujuan melambatkan proses penuaan. Pelbagai jenama kosmetik terdapat di pasaran, ada yang diimport dan ada juga yang dibuat di dalam negeri dengan menggunakan sumber-sumber alam setempat seperti tumbuhan dan produknya. Kosmetik banyak membantu menjaga kulit dan memastikannya sihat serta memelihara kelembapan. Kelembapan penting untuk kulit kerana kulit yang kering akan mengakibatkan kelupasan dan kedut-kedut yang muncul sebelum tiba masa yang sepatutnya.

Penggunaan tumbuhan sebagai bahan asas untuk perawatan kecantikan dan pembuatan kosmetik dalam masyarakat Melayu telah memakan zaman. Namun kita akui bahawa amalan dan tradisi asalnya telah banyak diperkaya oleh interaksi pelbagai budaya yang telah dialami oleh masyarakat Melayu. Sementara dari segi kaedah penggunaannya mungkin berbeza. Namun sejak lama dahulu tumbuhan telah menjadi produk yang bernilai tinggi kepada manusia kerana kepentingannya dalam penjagaan kecantikan bukan sahaja di Malaysia malahan di segala pelusuk dunia.

Antara bahan yang pernah digunakan untuk kecantikan pada masa dahulu ialah inai. Serbuk inai digunakan di negara-negara Timur sejak zaman purbakala untuk mewarnakan rambut dan kuku. Cleopatra dan Nefertiti dikatakan sering menggunakan inai untuk mencantikan diri. Di Mesir, inai dibuat pes untuk digunakan pada tangan dan kaki. Malah mumia daripada makam yang ditemui juga telah didapati mempunyai kuku yang berinai. Krim pencuci yang pertama sekali diketahui ialah apa yang kita katakan hari ini sebagai pencuci dan pelembap. Krim ini mengandungi lilin lebah, minyak zaitun dan air mawar didapati mempunyai rasa sejuk dan nyaman dan sangat efektif untuk melembutkan kulit. Melalui peredaran masa krim pencuci ini telah diperbaiki dengan menggantikan minyak zaitun dengan produk tumbuhan yang lebih tahan seperti minyak badam.

Sementara itu, menggunakan pulpa dan minyak avokado sebagai pelembap untuk melindungi diri daripada cuaca panas serta kering telah menjadi tradisi wanita Amerika Selatan dan Mexico. Pulpa avokado juga digunakan sebagai minyak rambut pekat untuk merangsang pertumbuhan rambut, mempercepatkan penyembuhan luka, menaikkan syahwat dan juga merangsang haid. Masyarakat Indian Amerika Utara merupakan orang yang pertama menemui ciri perubatan pokok evening primrose. Mereka menggunakannya untuk menuam luka, kesan lebam dan radang kulit. Melalui kajian terhadap minyak evening primrose ini pada tahun 1960 an, dirumuskan bahawa ia mengandungi asid linolenik gama (GLA). GLA merupakan asid lemak yang perlu dan dapat menyihatkan sel badan serta mengawal kelesuan. Sementara jojoba digunakan oleh kaum Apache untuk menyembuhkan sakit. Orang Mexico pula menggunakan jojoba untuk mengekstrak minyaknya bagi digunakan sebagai minyak rambut.

Nampaknya, banyak bahan yang digunakan dalam bahan kosmetik hari ini telah mula digunakan oleh masyarakat asli dunia. Cuma perbezaanya ialah dari segi persembahan kosmetik tersebut. Kini barangan yang digunakan lebih menarik dan ditambah pelbagai bahan lain supaya lebih wangi, tahan lama dan lebih berkesan. Di Malaysia, penggunaan tumbuhan sebagai bahan asas dalam menjaga kecantikan secara tradisional bermula dengan penggunaan daun pokok lidah buaya (Aloe vera) untuk mencantikkan kulit, pangkal batang pokok pisang (Musa spp) untuk melembutkan semula kulit tapak kaki yang kematu, dan buah timun (Cucumis sativus) untuk merawat wajah mereka.

Arus pemodenan turut mempengaruhi bidang kosmetik, maka industri kosmetik masa kini berkembang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan semakin maju selaras dengan perkembangan industri lain. Terdapat pelbagai jenis kosmetik dijual dengan menggunakan pelbagai jenama. Ramuan barangan yang digunakan biasanya hasil campuran pelbagai bahan sama ada bahan semulajadi daripada tumbuhan termasuk alga dan haiwan ataupun bahan tiruan (bahan kimia). Walaupun industri kosmetik sedang berkembang maju, didapati penggunaan tumbuhan sebagai bahan semulajadi dalam kosmetik menjadi satu trend baru yang sangat popular dan digemari ramai pada masa kini.

Sebagai contoh, Elizabeth Arden membawa teknologi tinggi berpaling kepada alam semulajadi, menggunakan herba sebagai bahan utama untuk penjagaan kulit terbaru iaitu Ceramide Herbal 12. Berumusan 12 herbal denag bahan utama adalah produk dari pokok tertua di dunia iaitu Ginkgo biloba dan bunga Echinasea. Ia berupaya melicinkan, menghalus dan melindungi kulit wajah daripada pencemaran. Ia juga mengandungi magnolia cina, biji anggur, rosmeri, capa, birc, pokok salesifrag, scutellania dan akar mulberi. Kekerapan mengambil Ginkgo biloba juga dipercayai meningkatkan fungsi otak dan menyihatkan badan. Manakala bunga echinacea pula meningkatkan ketahanan tubuh secara secara semulajadi. Jika disapu pada kulit ia dapat melindunginya daripada pencemaran dan mengekalkan kelembapan kulit.

Pengasas kosmetik Nouveaux Visages BML Pn. Becky M. Leogardo dari Filipina juga memanfaatkan keistimewaan produk tumbuhan dan asid dari buah-buahan seperti tebu, betik, koko, epal dan sebagainya untuk merawat kulit wajah, menjadikan kulit lembut, licin, putih dan kelihatan lebih muda. Kosmetik Bella Skin Care pula memperkenalkan kaedah serba lengkap secara natural untuk menyegarkan kulit muka dengan Repechage yang menakjubkan iaitu dengan penggunaan 4 lapis rawatan muka menggunakan rumpai laut sebagi bahan asasnya. Sistem ini mampu membantu membuang kekotoran, melicinkan tanda-tanda garis dan sembab pada kulit, membaiki tekstur kulit serta membuat kulit sentiasa muda.

Kajian tentang penggunaan kosmetik untuk meningkatkan perawakan telah menunjukkan bahawa terdapat satu tanggapan stereotype iaitu ‘segala yang cantik adalah baik’.


TUMBUHAN DAN PERANAN DALAM PENJAGAAN AWET MUDA

Menghargai apa yang kita miliki beerti kita dapat menghargai hidup kita saat ini dan bahawa kecantikan itu adalah juga satu cara hidup. Jika ingin kelihatan sihat dan cantik sepanjang hayat atau dengan kata lain awet muda, seseorang wanita hendaklah memulakan program kecantikan diri sejak berusia 12 tahun lagi. Ini kerana pada usia itulah seseorang wanita mula didatangi haid dan pada usia itu juga kebanyakan anak gadis mula berkeinginan untuk kelihatan cantik dan menarik. Selain daripada itu, seseorang harus mengetahui serba sedikit tentang petua untuk mengendalikan diri dalam bentuk yang wajar. Mengamalkan petua awet muda memang patut dipelajari, bukan ada jalan singkat untuk mendapat apa yang diingini dan seseorang wanita seharusnya mengetahui cara yang sebaiknya untuk kelihatan awet muda.

MENGGUNAKAN MASKER

Selain penjagaan asas dan mengurut, penggunaan masker merupakan perawatan muka tambahan yang amat berguna. Ia dapat menegangkan kulit muka dan melicinkannya. Penggunaan produk tumbuhan tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam pembuatan masker. Kulit yang remaja boleh menggunakan masker daripada sayur-sayuran seperti timun, tomato, lobak merah, kentang dan sengkuang yang boleh disediakan sendiri di rumah.

Jenis-jenis Masker

a) Masker sengkuang

Masker ini sangat sesuai untuk para remaja. Campuran masker sengkuang dengan air mawar dapat memutihkan dan menghilangkan tanda-tanda hitam atau pigmentasi di muka.

b) Masker jerawat

Masker ini diperbuat daripada bayam dan sedikit serbuk ubat jerawat. Ia sangat berkesan untuk mengecutkan jerawat dan menghilangkan rasa gatal di muka. Khasiat lainnya ialah untuk menghilangkan bekas-bekas jerawat.

c) Masker tomato

Tomato atau nama sainsnya Lycopersicom esculentun yang dicampurkan dengan sedikit masker sengkuang dan air akan menghaluskan dan melicinkan kulit muka.

d) Masker lobak merah

Nama sains bagi lobak merah ialah Daucus carota. Lobak merah dicampurkan dengan masker sengkuang dan sedikit air mawar akan dapat mengembalikan kelembapan kulit wajah dan keremajaan anda.

e) Masker kentang

Kentang atau nama saintifiknya Solanum tuberosum boleh dijadikan masker untuk digunakan pada muka dan juga badan. Masker ini dicampurkan dengan masker sengkuang dan air mawar sehingga menjadi krim. Hasilnya akan melembutkan dan memutihkan kulit.

f) Masker timun

Nama sains bagi timun ialah Cucumis sativa L. Ia boleh digunakan dalam dua bentuk iaitu airnya boleh dijadikan sebagai penyegar manakala isinya dicampur dengan masker sengkuang boleh digunakan untuk mendapatkan kulit yang licin tanpa jerawat.

Penjagaan Rambut

Penjagaan awet muda juga perlu menitikberatkan tentang penjagaan rambut kerana rambut adalah mahkota wanita. Tidak dapat dinafikan penggunaan tumbuhan sangat meluas dalam proses penjagaan rambut. Lidah buaya misalnya, digunakan sebagai syampu dan perapi untuk menyihatkan sel rambut, menguatkan akarnya dan memelihara rambut daripada rosak akibat penggunaan pengering rambut. Herba pula digunakan sebagai syampu dan perapi untuk mengembalikan kesegaran rambut, melembap, melicin dan menyerikan rambut. Selain daripada itu, lobak merah juga digunakan sebagai syampu bagi rambut kering. Ia menggalakkan pertumbuhan rambut baru dan mengelakkan rambut bercabang di hujung. Epal pula boleh digunakan bagi rambut yang menghadapi masalah kelemumur. Perapi epal didapati sangat sesuai untuk melembap, melicin dan menyegarkan rambut. Ia kaya dengan vitamin C dan perapi ini menjaga sel-sel rambut.


Perawatan Badan

Untuk kelihatan awet muda badan juga perlu diberi perhatian agar bersih, segar dan tidak berbau. Kunyit atau nama sainsnya Curcuma domestica dari famili Zingiberacea cukup popular sebagai bahan asas untuk membuat lulur dengan dicampurkan temulawak. Lulur ini elok sebagai bahan pembersih badan. Selain itu, lulur boleh digunakan untuk membantu menghapuskan kekotoran di kulit badan lantas memutihkannya, membuang sel-sel yang mati supaya sel baru boleh tumbuh dengan itu boleh menghaluskan kulit, menghilangkan tanda-tanda hitam, menghilangkan urat-urat kecil, melegakan gatal-gatal dan menghilangkan bau badan.


Rahsia Melangsingkan Badan Dengan Tumbuhan

Bentuk badan harus dijaga dengan berhati-hati terutamanya bagi kaum hawa. Potongan badan yang menarik membuatkan anda sentiasa kelihatan muda. Untuk mendapatkan tubuh yang ramping dan sedap dipandang, petua berikut boleh diamalkan.

¨ Rahsia buah delima

Delima (Punica granatum) yang dicampur dengan air dan sedikit garam mampu mengurang dan melangsingkan badan.

¨ Khasiat rempah ratus

Selain memberi selera dalam masakan harian, campuran rempah ratus seperti ketumbar, jintan manis, jintan putih, halia dan lada hitam berupaya melangsingkan badan.

¨ Khasiat limau nipis (Citrus hystrix)

Perahan limau nipis yang dicampurkan dengan teh pekat berupaya untuk memecahkan lemak.

¨ Rahsia daun betik

Betik atau nama sainsnya Carica papaya adalah sangat berkhasiat baik buah mahupun daunnya. Air rebusan daun betik berupaya menghasilkan perubahan bentuk badan yang sangat menakjubkan, langsing dan cantik.


TUMBUHAN DAN KESIHATAN

Sudah menjadi lumrah hidup manusia di mana sihat dan sakit tidak dapat dipisahkan. Ia mewarnai kehidupan silih berganti. Kerap kali ketika sihat kita lupa betapa nikmatnya mempunyai badan yang sihat. Akan tetapi bila sakit menimpa barulah kita sedar betapa berharganya badan yang sihat itu. Bila kita sihat, kita perlu tahu bagaimana untuk mengekalkan kesihatan badan. Antara penjagaan kesihatan ialah mengamalkan cara hidup sihat dari sudut kesihatan, penjagaan kesihatan, persekitaran dan senaman. Dalam proses penjagaan kesihatan diri, sumbangan tumbuhan sangat penting dan meluas terutamanya dalam aspek-aspek berikut:


Perawatan Wanita Selepas Bersalin

Selepas bersalin adalah masa paling penting bagi seseorang wanita untuk berehat. Masa yang diperlukan adalah selama 40 hari, kadang-kala sampai 60 hari. Selama waktu ini wanita harus tahu menjaga kesihatan diri, kalau tidak wajah dan badan akan cepat kelihatan tua. Rawatan tradisional terbukti dapat membantu kaum ibu mengembalikan bentuk badan seperti asal dan mengembalikan kesihatan dan kecantikannya. Antara perawatan yang menggunakan tumbuhan semula jadi dan petua yang boleh diamalkan ialah ;

i) Memakai barut – Sebelum memakai barut, perut akan disapu dengan tapel yang diperbuat daripada cekur, manjakani dan pati beras. Tapel berfungsi untuk menghangatkan perut.

ii) Jamu asam jawa – Rebusan air asam jawa dengan kunyit, gula melaka dan halia berguna untuk membuang semua darah kotor yang masih tertinggal dalam rahim.

iii) Meminum air daun betik – Air daun betik berguna untuk melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin yang ada di dalamnya.

iv) Mandi air suam – Air suam yang dicampur dengan daun-daun untuk menghasilkan bau wangi seperti serai wangi, daun pandan dan daun ubat-ubatan lain dapat menyegarkan badan.

v) Mandi rempah – Selain rempah, di dalam air mandian boleh ditambah dengan bunga-bungaan yang wangi untuk menghilangkan bau yang kurang sedap dari badan.

vi) Minum jamu – Minum jamu selepas bersalin boleh mengubati luka-luka dan mengembalikan kecantikan anda.

vii) Menggunakan param – Param dibuat daripada kelir, cekur dan minyak sireh dan ia disapu ke seluruh badan. Ia berfungsi untuk menghilangkan rasa sengal pada sendi dan otot, menghangatkan badan dan menghilangkan bengkak-bengkak.

viii) Menggunakan pilis – Pilis dibuat daripada akar tinggal, buah kapulaga dan sintok. Pilis biasanya disapukan di dahi untuk mencerahkan penglihatan dan menghilangkan pening kepala.

Selain daripada amalan penjagaan ibu-ibu selepas bersalin seperti di atas, terdapat juga penggunaan tumbuhan dalam amalan-amalan kesihatan seperti berikut :

§ Penggunaan lempoyang dan kunyit yang dicampur dengan gula merah untuk memulihkan tenaga selepas bersalin.

§ Kelapa dan buah keras digunakan untuk mengilatkan dan menghitamkan rambut dalam masa pantang.

§ Halia yang direbus dengan sedikit gula untuk mengatasi sakit pinggang dalam pantang.

§ Daun lidah buaya atau aloe vera yang cukup tua sangat berguna untuk memastikan perjalanan darah yang sempurna dalam pantang.

§ Campuran buah manjakani, bawang putih dan lada hitam boleh memelihara bentuk badan agar tetap segar dan langsing walaupun telah melahirkan beberapa orang anak.

§ Halia muda sangat berkhasiat, jika dicampurkan dalam sup ayam boleh mempercepatkan ibu-ibu pulih setelah melahirkan anak, lenguh-lenguh dan sakit badan juga akan hilang.

§ Ibu-ibu yang kurang darah selepas melahirkan anak boleh mengamalkan minum air rebusan lempoyang dan gula merah.

§ Air limau nipis dicampur dengan minyak kayu putih dan air kapur sirih dapat menghindarkan kulit perut dari berkedut dan melicinkan kulit perut yang pecah-pecah.


Tumbuhan Dan Pelbagai Khasiat Yang Tersembunyi

Di Malaysia kini terdapat berbagai-bagai tumbuhan, sama ada yang ditanam atau tumbuh liar di hutan. Ada di antaranya tumbuhan asli di negara ini dan ada pula yang dibawa masuk dari negara-negara lain. Banyak di antaranya mengeluarkan bunga, buah, ubi, daun, pucuk, akar dan sebagainya yang begitu bermanfaat kepada kesihatan manusia dan berguna untuk ubatan tradisional.

Tumbuhan yang dikelaskan sebagai sayuran memang sedap apabila dimasak, manakala sayuran yang dikategorikan sebagai ulam-ulaman pula lebih enak dimakan mentah dan sememangnya mempunyai khasiat yang tinggi dan pelbagai kegunaan lain. Contoh sayuran dan ulaman ialah :

v Ulam raja – merupakan tumbuhan liar yang mudah didapati di negara ini walaupun sebenarnya tumbuhan ini berasal dari Amerika Latin. Berdasarkan kajian tempatan, ulam raja ini mengandungi 3 % protein, 0.4% lemak dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A. Selain itu, dalam rawatan tradisional, ulam raja digunakan sebagai agen pencuci darah dan untuk menguatkan tulang.

v Bendi – merupakan sayur tempatan yang banyak ditanam di negara-negara beriklim panas lembap. Berdasarkan kajian tempatan yang dilakukan, bendi mengandungi 2% protein, 7% karbohidrat dan 1% serat serta banyak mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A,B1, B2, C dan niasin. Bendi juga kaya dengan zat galian dan vitamin terutamanya kalsium. Bendi juga sayur yang elok untuk perkembangan otak.

v Jering – adalah tumbuhan asli di negara ini. Daripada kajian yang dilakukan, didapati jering mengandungi 3.5 % protein, 0.1% lemak, 1.7% karbohidrat, banyak mengandungi kalsium, fosforus, besi, vitamin A,B dan C.

v Petai – petai atau nama saintifiknya Parkia spp tergolong dalam famili Leguminasae berasal dari rantau ini. Terdapat 4 spesies petai iaitu Parkia javanica (petai karayong), Parkia singularis (petai meranti), Parkia speciosa (petai biasa/papan) dan Parkia sumatrana (petai naring). Berdasarkan kajian tempatan, petai mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi iaitu sebanyak 8 peratus.

v Pisang – Pisang atau nama sainsnya Musa spp merupakan tumbuhan liar di Asia Tenggara. Sebenarnya seluruh pokok pisang adalah berkhasiat. Menurut kajian tempatan, jantung pisang mengandungi 1.2% protein, 0.3% lemak, 7.1% karbohidrat, mengandungi banyak fosforus dan zat besi. Buah pisang pula kaya dengan serat, vitamin C, potasium, ribofalvin, folate, magnesium dan karbohidrat ringkas.

v Terung pipit / Terung Belanda – nama sainsnya ialah Olanum torrum swartz dari famili Solanacea merupakan tumbuhan liar di Malaysia. Daripada kajian, terung pipit ini mengandungi 2% protein, 0.1% lemak, 7.9% karbohidrat serta mengandungi zat besi, banyak vitamin A dan C serta B1. Menariknya terung pipit ini juga mengandungi alkohol jenis steroidd yang dikenali sebagai Solasodin sebanyak 0.84% yang penting untuk menghasilkan pil perancang keluarga.

v Timun – nama sainsnya ialah Cucumis sativa L adalah sayur tempatan bukan asli tetapi tempat asalnya dipercayai di kawasan kaki banjaran Himalaya di India. Menurut kajian tempatan, timun mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dan 2.2% karbohidrat. Selain itu, timun juga turut mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, B1, B2 dan vitamin C dan niasin.

v Kacang Botol – merupakan sayuran tempatan bukan asli. Menurut kajian tempatan, kacang botol yang masih muda mengandungi 1-3% protein,kaya dengan zat kalsium, besi dan vitamin A.

v Pegaga (Centella asiatica) – merupakan tumbuhan yang sangat berkhasiat. Seluruh bahagian pegaga iaitu daripada tangkai daun, daun, batang, buah dan akarnya sekali sangat banyak kegunaannya. Pegaga juga mengandungi banyak sebatian kimia yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria, antispasma, antiinflamesi, hipotensif dan insektisid.


Selain daripada sayur-sayuran segar yang berkhasiat, rahsia organ yang sihat juga dapat ditemukan dalam buahan segar yang memberi kita banyak vitamin dan mineral yang diperlukan agar tetap cergas dan sihat. Produk tumbuhan bol;eh membantu mencantikkan kulit dan mengelakkan daripada gangguan kesihatan. Contohnya:

Ø Aprikot – kaya dengan vitamin C dan mempunyai kandungan beta karotina tertinggi. Anti oksida ini mengandungi zat yang boleh memerangi kanser.

Ø Gajus (Anarcardium occidentela) – sangat unik kerana mempunyai biji di luar. Bijinya mengandungi 45% minyak dan 20% protein.

Ø Nangka (Atocarpus heterophyllus) – berasal dari India. Buah yang masak mempunyai bau yang kuat, isinya mengandungi karbohidrat dan bijinya mengandungi karbohidrat dan protein.

Ø Belimbing (Averrhoa carambole) – terbukti mengandungi vitamin C dan A dan mineral yang tinggi.

Ø Delima (Punica granatum) – mempunyai isi yang manis dan sangat berkhasiat untuk kesihatan badan.


Selain daripada sayur-sayuran dan buah-buahan masih terdapat produk-produk tumbuhan yang sangat manfaat untuk kesihatan badan. Contohnya:

· Oats – sejenis makanan yang menakjubkan kerana kaya dengan serat untuk diet, protein dan vitamin serta zat besi, magnesium dan potasium. Ia juga berfungsi mengurangi penyerapan lemak dan mengurangi penyakit susah buang air.

· Beras (Oryza sativa) – merupakan sumber karbohidrat yang bebas kanji serta mengandungi mineral dan vitamin. Ia berfungsi untuk menstabilkan kadar gula dalam darah. Juga sebagai bahan terapi bagi radang saluran pencernaan.

· Kacang soya – Ia bukan sahaja sebagai bahan makanan yang enak tetapi bahan mentah dalam industri kimia. Kacang soya telah digunakan di dalam herba perubatan China sejak 5000 tahun dahulu. Ia sangat kaya dengan sumber protein dan kalsium.

· Cendawan – merupakan sejenis tumbuhan yang kaya dengan nutrien, vitamin dan protein semulajadi. Di samping nilai pemakanan yang tinggi , cendawan dapat meredakan penyakit seperti anemia dan kencing manis.


PENGGUNAAN TUMBUHAN DALAM AMALAN PERUBATAN TRADISIONAL

Seperti diketahui umum, flora boleh menyumbang khasiat perubatan yang tidak ternilai pentingnya. Flora yang wujud segar di hutan tropika kita yang selama berabad-abad itu menyimpan bertimbun rahsia perubatan. Kebanyakan daripada tumbuhan hutan hujan tropika mengandungi nilai-nilai perubatan terutamanya dari bahagian-bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi. Penggunaan tumbuhan di dalam perubatan tradisional telah lama berlangsung sejajar dengan kewujudan manusia itu sendiri dan diamalkan sebagai rawatan utama atu pilihan oleh semua masyarakat dan kaum. Contohnya Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan kira-kira 70-80 % dari penduduk dunia masih lagi bergantung kepada sistem perubatan tradisional di dalam penjagaan kesihatan asas manakala di China sistem perubatan tradisional telah digunakan sebagai rawatan asas dalam lebih 40 % daripada masalah kesihatan dan penjagaannya.

Pemakaian bahan ubat yang dihasilkan daripada tumbuhan berbeza mengikut sifat penyakit yang diubati. Dalam kegunaan perubatan tradisional misalnya, masyarakat Melayu meminum air rebusan tongkat Ali sebagai sejenis tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas bersalin dan untuk menguatkan tenaga batin lelaki. Orang-orang Asli pula menggunakan bahagian kulit akar tongkat Ali untuk mengubati demam cacar manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka serta melegakan demam malaria.

Di antara spesies-spesies tumbuhan lain yang sering dikaitkan dengan nilai perubatannya termasuklah kacik fatimah (Labisia pothoina) yang berguna untuk mengubat buasir dan penyakit tulang. Sementara akarnya boleh digunakan untuk mengecutkan rahim perempuan selepas bersalin. Manakala pokok rancang besi ( Freycinetia malaccensis) didapati sangat berguna dalam perubatan tradisional iaitu akar dan batangnya bersama ramuan dan ubatan lain dapat mengubati lemah tenaga batin. Sejak zaman-berzaman getah jernih seakan jeli dari daun pokok Aloe vera L telah digunakan sebagai ubat luka yang amat mujarab. Namun kajian saintifik telah berjaya membuktikan getah daun ini mempunyai fungsi yang lebih luas terutama dalam perubatan herba. Isi daunnya digunakan untuk merawat sakit tekak dan mulut, bahan dalam kosmetik dan melicinkan kulit. Lendir kuning daripada pangkal daunnya digunakan sebagai pelawas bagi memudahkan membuang air besar manakala jeli Aloe vera digunakan untuk merawat ulser. Mungkin ada di antara kita yang kurang pasti akan ciri-ciri perubatan yang menakjubkan yang ada pada bawang putih (Allium sativum). Ia telah lama dianggap sebagai herba atau makanan ajaib kerana unsur perubatan dan antibiotik yang ada padanya. Selain digunakan dalam pembuatan jamu atau tonik ia digunakan untuk mengubat luka, bisa lipan, kala jengking dan juga boleh menurunkan tekanan darah serta mengelakkan daripada terkena kencing manis.

Seperti kacik fatimah, pokok senduduk juga tidak kurang pentingnya untuk ubat-ubatan bagi kaum wanita. Senduduk (Melastoma malabathricum) bersama ubatan lain boleh dijadikan ubat periuk bagi kegunaan wanita selepas bersalin. Sementara daunnya pula berguna untuk merawat cirit-birit, buasir, kudis, menghilangkan parut cacar serta untuk merawat penyakit keputihan pada wanita.

Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di rantau Asia. Ia menggabungkan sistem rawatan moden dan tradisional seperti rawatan orang asli, homeopati, sistem rawatan China,Melayu dan India. Banyak keluaran herba penjagaan diri telah menggunakan ramuan dari tumbuh-tumbuhan seperti kenanga, cempaka, Aloe vera, kunyit dan lain-lain lagi.


PENUTUP

Mahu pulihkan dara, menjarakkan kelahiran anak, mendapatkan anak bagi pasangan mandul atau mahu kelihatan awet muda ? Persoalan ini bukanlah iklan ubat, vitamin atau yang seumpamanya tetapi kenyataan sebenarnya, inilah antara ‘ kebolehan canggih’ tumbuhan hutan Malaysia yang jarang kita ketahui. Kehidupan yang serba moden dan pantas ini tidak dapat dinafikan telah menyebabkan kita terlupa dengan kewujudan tumbuhan sebagai khazanah bangsa yang amat bernilai itu.

Sebagai sebuah negara beriklim khatulistiwa, Malaysia sememangnya kaya dengan flora dan fauna. Kekayaan sumber alam ini menjadikan negara ini sebagai antara ‘pusat simpanan’ flora dan fauna yang terulung di dunia. Masyarakat pastinya mengetahui bahawa tumbuh-tumbuhan telah digunakan untuk terapeutik sejak zaman-berzaman lagi. Pengetahun dan pengalaman mengenainya telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain sama ada melalui tulisan atau pun lisan. Pada dasarnya tumbuhan dan beberapa keluaran alam semula jadi yang lain turut menjadi sumber utama dalam sistem perubatan tradisional. Malahan tumbuhan daripada pelbagai genera dan spesies juga menawarkan pelbagai bentuk bahan asas untuk kegunaan manusia seperti sumber makanan, tempat perlindungan, pakaian, bahan asas untuk kecantikan dan bahan ramuan untuk menjaga kesihatan badan. Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa hubungan antara manusia dan tumbuhan memang memberi banyak manfaat kepada manusia sejagat sekiranya digunakan dengan cara yang betul.

Keinginan generasi terdahulu dan sekarang untuk mengetahui dan mendalami manfaat serta khasiat dari tumbuhan semakin bertambah bersesuaian dengan peredaran masa. Maka pihak-pihak berkenaan, kalangan pakar perubatan dan pakar pemakanan perlulah sentiasa mencari penjelasan ilmiah tentang zat-zat yang ada pada flora. Kita berharap, semakin maju ilmu pengetahuan para pengkaji khasnya di bidang-bidang seperti perhutanan, kaji hayat, farmasi, bioteknologi, perawatan kecantikan dan kesihatan serta yang berkaitan, maka semakin tinggi usaha mereka untuk memecahkan satu persatu rahsia alam yang dititipkan dalam pelbagai sumber daya hayati untuk kemajuan dan kepentingan bangsa.

0 comments:

Post a Comment

Share

Sebarkan.

Related Posts with Thumbnails